BERITA SALAHGUNA DADAH

Warga Nigeria dijatuhi hukuman gantung edar dadah


2012/02/16

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang peniaga pakaian warga Nigeria selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 10.886 kilogram, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab, menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mamadou Cire Magassouba, 30, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Dia didapati bersalah mengedar sejumlah dadah itu di depan kaunter tiket Suasana Jelita Sdn Bhd, tingkat bawah stesen bas, Lebuhraya Bukit Kayu Hitam, gerai MDKP Pekan Baru, Changlun, kira-kira jam 2.30 petang pada 14 September 2010.
Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tertuduh berkahwin dengan wanita Vietnam dan mempunyai seorang anak perempuan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Fadzila Ishak manakala tertuduh diwakili peguam, Ali Munawar Razak. - BERNAMA



Wanita Thailand ditahan bawa dadah di Sungai Petani


2012/02/16

ALOR SETAR: Seorang wanita Thailand ditahan polis bersama 20 ketulan mampat daun kering dipercayai dadah jenis ganja di Perhentian Bas Sungai Petani, dua hari lalu.

Ketika ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, kira-kira jam 9.45 malam Selasa lalu, wanita yang berumur 35 tahun itu membawa dua beg.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, berkata hasil pemeriksaan pada kedua-dua beg itu, polis menjumpai ketulan-ketulan mampat yang dipercayai dadah jenis ganja dengan berat 19.1 kilogram dan nilai pasarannya dianggarkan RM56,000.
"Suspek menaiki bas dari Changlun ke Sungai Petani dan dipercayai akan meneruskan perjalanan ke Lembah Klang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati wanita itu baru pertama kali memasuki Malaysia dan mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Suspek kini ditahan reman selama seminggu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Ahmad berkata, polis masih menjalankan siasatan sama ada kes itu mempunyai hubungan dengan dua kes sebelum ini membabitkan dua wanita Thailand yang ditahan di Stesen Bas Shahab Perdana dalam tempoh dua bulan tahun ini.
"Daripada ketiga-tiga kes itu, kita berjaya merampas 62 ketulan mampat yang dipercayai dadah jenis ganja dengan nilai pasaran dianggarkan RM175,000," katanya.

Beliau berkata, polis masih meneruskan siasatan bagaimana dadah itu dibawa masuk ke negara ini dan percaya ia membabitkan sindiket tetapi tidak pasti sama ada sindiket itu adalah sindiket yang sama atau sebaliknya.

"Kita akan sentiasa membuat pemerhatian khusus terutamanya di sekitar Changlun, Alor Setar dan Sungai Petani yang membabitkan laluan utama bas ekspres," katanya. - BERNAMA



02/2011 2:06pm
GEORGETOWN


Seorang pelajar tingkatan lima adalah antara lima lelaki yang ditahan dalam satu operasi membabitkan rampasan dadah jenis ganja bernilai RM240,000 di sini kelmarin. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Supt S. Batumalai berkata, kelima-lima mereka yang berusia antara 17 dan 50 tahun ditahan kira-kira pukul 5 petang di Jalan Air Itam. “Berdasarkan maklumat awam dan intipan sejak seminggu lepas, sepasukan anggota polis dari JSJN Bukit Aman dan Pulau Pinang menahan sebuah kereta jenis Honda yang dinaiki empat lelaki dan dalam keadaan mencurigakan di kawasan Air Itam di sini. “Hasil pemeriksaan ke atas kereta tersebut, polis menemui ketulan dadah seberat 61.3 kilogram bernilai kira-kira RM240,000 yang disembunyikan dalam satu ruang dalam kereta,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini. Beliau berkata, polis juga menahan seorang lelaki yang menunggang motosikal dan mengekori kereta tersebut, dipercayai mempunyai kaitan dengan empat lelaki terbabit. Batumalai berkata siasatan mendapati dadah itu adalah untuk edaran di sekitar negeri ini. – Bernama



Guru edar pil khayal kena tahan
Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my
2010/04/26

Suspek berusia 24 tahun guna rangkaian pelajar sebagai orang tengah

BETONG: Kegiatan seorang guru lelaki dari Semenanjung menjual dadah dan pil khayal kepada pelajar di sebuah sekolah menengah di sini, terbongkar apabila polis menahannya bersama 1,862 pil nospan, di sini, petang semalam.
Dalam tangkapan di Jeti Sungai Saribas, Pusa, kira-kira jam 4.30 petang semalam, suspek yang berusia 24 tahun dan berasal dari Kedah dalam perjalanan pulang ke Beladin bersama isteri dan seorang anaknya selepas dipercayai mengambil bekalan dadah dari Kuching.
Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Mohd Bukhori Saffai, berkata suspek yang bertugas di sebuah sekolah di Beladin, dipercayai menjadi pengedar dadah kepada pelajar sekolah sekitar kawasan berkenaan.

“Ketika ditahan, suspek cuba melawan dan cuba melarikan diri namun terpaksa menyerah selepas dikepung anggota polis yang mendapat maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah.

“Selain sejumlah pil nospan yang dianggar bernilai lebih RM1,000, turut ditemui dadah jenis ganja seberat 10 gram. Suspek dan keluarganya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Difahamkan, suspek yang berkahwin dengan isterinya, seorang warga tempatan, bertugas lebih lima tahun di sekolah berkenaan selain kerap ke Kuching bagi mendapatkan bekalan dadah pelbagai jenis bagi dijual kepada pelajar sekolah.
Bukhori berkata, berdasarkan siasatan awal, polis mempercayai suspek menjalankan kegiatan mengedar dadah di Beladin sejak setahun lalu dan mempunyai rangkaian pelajar yang dijadikan orang tengah.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan akan menahan beberapa individu tempatan lagi yang dipercayai menjadi orang tengah kepada suspek.

“Siasatan ke atas suspek sedang dilakukan mengikut Seksyen 6 dan 30 Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan perintah tahanan reman akan dibuat esok (hari ini) di Mahkamah Majistret Betong,” katanya.

Tangkapan ini adalah yang pertama di Betong membabitkan guru yang bertugas di kawasan pedalaman mengedar dadah.

Bulan lalu, seorang bekas guru berasal dari Kedah ditahan di Kuching kerana cuba menyeludup daun ketum.